Tapah, Mac-
Barisan Nasional (BN) yakin sokongan pengundi muda akan berpihak kepada parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, keyakinan itu berdasarkan gerak kerja dilakukan BN Parlimen Tapah sebelum ini yang memfokuskan kebajikan dan sumbangan secara berterusan bermula di peringkat sekolah.
Menurut Saravanan, pihaknya hanya perlu memperkemaskan jentera pada pilihan raya itu memandangkan terdapat kira-kira 14,000 pengundi muda berdaftar di kawasan DUN tersebut.
“Nasib baik Pemuda BN Parlimen Tapah sentiasa mengadakan program-program untuk belia di sini.”Ini satu-satunya Parlimen yang saya berani sebut, kita mula sumbangan kepada generasi muda daripada peringkat sekolah. Bila sampai sahaja Tingkatan Lima, dah ada sumbangan untuk mereka.
“Maka saya percaya, daripada 14,000 pengundi muda itu, sebahagian besar akan menyokong calon BN,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa BN Parlimen Tapah di Bangunan UMNO Tapah, di sini pada Isnin.





















