Kereta menggelungsur dari feri jatuh

Kuala Lumpur, Mei-

Seorang wanita warga emas melalui detik cemas apabila kereta dinaiki bersama suami yang diparkir atas feri secara tiba-tiba menggelungsur ke Sungai Kelantan di Jeti Pengkalan Feri Pasir Kelang, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, mangsa yang berusia lingkungan 50-an dapat diselamatkan.

Menurut pekerja feri, Haikal Ridzuan, 25, pasangan suami isteri berkenaan dari Kampung Pasir Kelang menyeberangi sungai untuk ke Bandar Kuala Krai.

Suami wanita berkenaan turun membayar tambang dan mendakwa sudah mengangkat brek tangan dan meletakkan gear automatik pada posisi neutral (N).

“Bagaimanapun, wanita itu dipercayai tertolak tombol gear automatik kereta itu ke posisi drive (D) menyebabkannya bergerak lalu menggelungsur terjunam ke sungai. “Kebetulan pada ketika itu, hanya kereta pasangan suami isteri berkenaan sahaja yang berada atas feri menyeberangi sungai,” katanya.

Dalam keadaan yang getir, beberapa penumpang atas feri membantu membuka pintu kereta untuk membawa wanita itu keluar daripada kenderaan berkenaan.

Wanita itu terjatuh ke sungai, namun berjaya diselamatkan,” katanya.

Haikal berkata, dia kemudian mengambil tali feri untuk diikat pada satu bahagian kereta bagi mengelakkannya hanyut dan tenggelam.

“Sebaik situasi selamat, krew feri menarik kereta yang hampir tenggelam menggunakan sebuah pikap.

“Kejadian yang berlaku semalam adalah yang pertama sejak puluhan tahun perkhidmatan feri beroperasi di Pengkalan Feri Pasir Kelang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here