Perhilitan siasat dalang pemburu haram

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor menjunjung kasih atas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang murka dengan aktiviti pemburuan haram di beberapa kawasan hutan di negeri ini.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata, siasatan dalaman berhubung aktiviti pemburuan haram dan sama ada anggotanya turut terlibat dalam melindungi aktiviti tersebut.

“Perhilitan Johor akan bekerjasama sepenuhnya dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor untuk mengesan dalang aktiviti pemburuan haram ini.

“Perhilitan Johor sedang melakukan siasatan dalaman berhubung insiden ini,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka terhadap aktiviti pemburuan haram di beberapa kawasan hutan di sekitar negeri ini.

Baginda bertitah sudah beberapa kali membangkitkan isu pemburuan haram dan berasa kecewa kerana tiada sebarang tindakan dilakukan.

Baginda turut dilaporkan menerima maklumat berserta beberapa gambar mengenai satu aktiviti pemburuan haram berskala besar yang dilakukan malam kelmarin.

“Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Saya mahu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta polis segera menjalankan siasatan dan sediakan satu laporan penuh berhubung kejadian malam tadi (kelmarin).

“Kesemua pemburu ini juga dipercayai memiliki senjata berupa senapang patah buatan sendiri,” titah baginda dalam muat naik berkenaan,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi memaklumkan akan mengadakan sidang akhbar pada jam 4 petang ini bagi mengulas mengenai isu pemburu haram.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here