Ipoh, Jun-
Pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan tragik meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Isnin lalu, telah ditahan polis.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan jam 5.45 petang selepas dibenarkan keluar dari Hospital Taiping.
Lelaki itu akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) AktaPengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau berbahaya.
“Kami sedang menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Pendakwa Raya sama ada pemandu bas itu boleh didakwa di mahkamah esok.
“Setakat ini, kami sudah bersedia,” katanya ketika dihubungi.
Difahamkan, lelaki itu diiringi tiga anggota polis, dipercayai dari IPD Gerik, sebelum mereka meninggalkan perkarangan hospital.
Noor Hisam berkata, pemandu itu cedera di tangan.
Isnin lalu, bas yang membawa 42 pelajar UPSI dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu, ke kampus utama universiti itu terbabit kemalangan di KM53 Jalan Raya Timur-Barat di Gerik.





















