Lebih 6,000 pelajar cemerlang 10A ditawar Program Matrikulasi

Kuala Lumpur, Ogos-
Seramai 6,029 pelajar cemerlang 10A lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditawarkan ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan (KPM) bagi sesi 2025/2026.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata penawaran pelajar ke Program Matrikulasi KPM sejak 2015 hingga kini adalah berdasarkan meritokrasi iaitu 90 peratus akademik dan 10 peratus kokurikulum, latar belakang pendapatan dan kuota mengikut kaum.

“Penawaran kemasukan ke Program Matrikulasi berdasarkan merit 90 peratus akademik dan 10 peratus kokurikulum serta latar belakang pendapatan iaitu 60 peratus golongan B40 dan 40 peratus golongan T20 dan M40.

“Pengiraan 90 peratus markah akademik bukan bergantung kepada bilangan A yang diperoleh, tetapi mengambil kira markah merit empat mata pelajaran utama bergantung kepada jurusan pilihan pelajar.

Soalan Lazim (FAQ) dan kalkulator pengiraan merit turut disediakan di laman sesawang rasmi KPM (matrikulasi.moe.gov.my), dengan kandungan yang sentiasa dikemaskini,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai pecahan bilangan pelajar SPM yang memperoleh 10A, 9A, 8A, 7A, 6A dan 5A masing-masing yang ditawarkan kursus matrikulasi bagi tahun masing-masing dari 2015 hingga 2025.

Fadhlina berkata, berdasarkan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 Jun 2024, kerajaan memutuskan semua pelajar cemerlang 10A dan ke atas lepasan SPM mendapat secara tawaran automatik dengan mengekalkan dasar sedia ada.

“Seramai 4,932 pelajar cemerlang 10A dan ke atas lepasan SPM ditawarkan ke Program Matrikulasi KPM bagi sesi 2024/2025,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here