Ipoh, Dis- Penduduk di Bukit Bangkong, Chemor dekat sini bimbang apabila dikejutkan dengan laporan serangan haiwan liar dipercayai harimau yang mengakibatkan dua ekor lembu ternakan mati dan lima ekor lagi hilang pada Jumaat lalu.
Pengerusi Persatuan Pengindahan Alam Sekitar Bukit Bangkong, Lee Jun Man, 33, yang tinggal di kawasan itu juga berkata sepanjang hampir 30 tahun, penduduk tidak pernah menerima sebarang laporan atau kejadian orang ramai terlihat kelibat harimau.
“Kami amat terkejut dan takut apabila polis memaklumkan serangan terhadap ternakan di ladang berhampiran kerana belum pernah kejadian seumpamanya berlaku sebelum ini.
“Beberapa hari sebelum kejadian, ada penduduk yang mendakwa terdengar bunyi seperti ngauman haiwan liar, tetapi siasatan awal menunjukkan tiada bukti kukuh yang mengaitkan bunyi itu dengan harimau,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini .
Bagaimanapun, Lee menasihati penduduk supaya mengelakkan sebarang aktiviti di kawasan semak atau ladang secara bersendirian, terutamanya pada waktu senja atau malam, dan melaporkan sebarang petunjuk kehadiran hidupan liar kepada pihak berkuasa dengan segera.
Sementara itu, penternak lembu terbabit Abdul Rahman Sahul Hamid, 41, berkata dia menyedari tujuh ekor lembu hilang ketika dia tiba di kandang untuk melakukan rutin pemeriksaan pada petang Jumaat, selain ternakan lain dilihat seolah-olah ketakutan dan menjauhkan diri daripadanya.
“Selepas mencari di sekeliling ladang, saya terkejut apabila menjumpai seekor lembu mati di belakang ladang dengan kesan cakaran pada badan dan kecederaan pada tengkuk.
“Kemudian, saya terjumpa seekor lagi lembu telah mati pada jarak 200 meter dari kandang, lalu saya membuat laporan di Balai Polis Tanah Hitam,” katanya.
Abdul Rahman berkata kejadian itu adalah yang pertama membabitkan serangan harimau sejak mengusahakan penternakan lembu kira-kira lapan tahun lalu dan berharap pihak berkuasa segera mengambil tindakan sepatutnya.























