Vijay dilantik KM Tamil Nadu – PN ucap tahniah

 

Kuala Lumpur, Mei-

Perikatan Nasional (PN) mengucapkan tahniah kepada C Joseph Vijay dan partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK), atas kemenangan pilihan raya di negeri Tamil Nadu, India, serta pelantikannya sebagai ketua menteri.

Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata kemenangan itu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi yang dibawa Vijay, yang menekankan keadilan, keharmonian sosial, pemerkasaan belia, pemodenan dan penolakan terhadap politik yang memecah-belahkan serta bersifat diskriminatif.

Gabungan pembangkang itu turut menyatakan Vijay mempunyai pengaruh besar di Malaysia, khususnya dalam kalangan belia India, hasil latar belakangnya sebagai bekas pelakon selain usaha kemanusiaan yang dilakukannya.

“Kebangkitan politik beliau turut diperhatikan dengan penuh minat dan keterujaan oleh ramai pihak, terutama memandangkan hubungan sejarah, budaya dan bahasa yang sekian lama terjalin antara Tamil Nadu dan rakyat Malaysia berketurunan India.

“PN mendoakan beliau berjaya memimpin Tamil Nadu ke arah kemajuan, kestabilan dan kemakmuran yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan.

Vijay, 51, seorang pelakon India Selatan yang beralih ke arena politik, mengangkat sumpah sebagai ketua menteri baharu Tamil Nadu semalam selepas parti-parti lain berjanji memberikan sokongan bagi membolehkannya memperoleh majoriti diperlukan di dewan perundangan negeri.

Parti TVK memenangi 108 kerusi, kurang 10 kerusi daripada 118 yang diperlukan untuk membentuk majoriti sendiri dalam dewan yang mempunyai 234 kerusi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here