Kuala Lumpur, Jul-
Anak jati Negeri Sembilan Sunoshini Dhanabalan dinobatkan sebagai Miss Grand Malaysia 2026 pada acara kemuncak di sini, malam tadi.
Kemenangan itu melayakkan usahawan berusia 29 tahun itu mewakili Malaysia ke pertandingan Miss Grand International 2026 yang dijadualkan di India pada Oktober ini.
Tempat kedua disandang peserta Selangor Vyan Trisni, 22, manakala tempat ketiga Gracelyn Tigang, 23, dari Sarawak.
Sunoshini berkata kemenangan itu cukup bermakna selepas hampir setahun membuat persiapan bagi menghadapi pertandingan tersebut.
“Saya gembira dan teruja kerana di sebalik mahkota ini, terdapat pelbagai cabaran dan pengorbanan yang dilakukan. Kemenangan ini bukan sekadar mahkota atau gelaran.
“Sudah tentu saya mahu memberikan saingan dan persembahan terbaik di pentas dunia supaya dapat membanggakan rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong perjalanan saya,” katanya kepada Bernama.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa itu menyasarkan untuk berada sekurang-kurangnya dalam kelompok 20 terbaik pada pertandingan Miss Grand International 2026.
Sementara itu, Pengarah Nasional Miss Grand Malaysia Melisha Lin berkata amat berbangga dengan kemenangan Sunoshini yang disifatkannya sebagai peserta paling konsisten sepanjang minggu pertandingan berlangsung.
Beliau berkata dalam kalangan 12 peserta, Sunoshini sentiasa mempamerkan prestasi cemerlang menerusi sikap positif, disiplin tinggi dan keperibadian yang menyerlah serta tahap fokus yang menjadi antara kriteria utama dalam pemilihan wakil negara.





















