Nibong Tebal, Jun-
Kerajaan tidak bercadang melanjutkan tempoh kemasukan pekerja asing ke negara ini menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 termasuk dari Bangladesh, yang berakhir pada 31 Mei lalu.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata ini berikutan tempoh diberikan oleh Malaysia adalah munasabah, untuk menguruskan segala prosedur kemasukan pekerja asing.
“Pada ketika kita tetapkan tarikh itu (31 Mei), kita mengambil kira semua proses, bermakna bermula dari kuota diluluskan, pemeriksaan kesihatan, mendapatkan visa dan mengatur tiket.
“Ternyata baru-baru ini, jumlah kemasukkan lebih 20,000 pekerja asing dalam masa empat hari (28 hingga 31 Mei) dan apabila kita semak antara yang masuk itu, kelulusan visa itu diperoleh November tahun lepas.
“Isunya kenapa tunggu sampai 31 Mei untuk bawa masuk,” katanya kepada pemberita selepas Program Lawatan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Ahmad Fuzi Abdul Razak ke Penjara Seberang Perai.




















