Samun rantai – 4 wanita ditahan !

Kuala Lumpur, Dis-
Empat wanita ditahan semalam selepas disyaki menyamun seutas rantai leher seorang wanita warga emas pada 28 Nov lepas.

Ketua Polis Serdang, AA Anbalagan, berkata empat wanita berusia 30 hingga 41 tahun itu ditahan di persimpangan lampu isyarat Jalan Semangat PJS 13, di sini.

Beliau berkata, mangsa berusia 69 tahun berada di depan rumahnya di Seri Kembangan, sebelum didatangi sebuah kereta bernombor pendaftaran palsu WXY 5795.

“Seterusnya, keluar tiga wanita tidak dikenali dari kereta itu dan memberitahu mangsa satu pinjaman serta bantuan khas untuk mangsa. Suspek mengajak mangsa ke pejabat mereka di South City Plaza, Serdang Perdana.

“Setelah sampai, apabila mangsa turun dari kereta, seorang daripada suspek menarik rantai leher dipakai mangsa sebelum bertindak melarikan diri,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, tular di media sosial video 1.03 minit berhubung tangkapan empat wanita itu oleh sepasukan polis di persimpangan lampu isyarat tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here