Imigresen menyerbu kilang, menahan 229 warga asing

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen menahan 229 warga asing dalam Operasi Patuh (Op Patuh) di sebuah kilang pelupusan besi di Meru, Klang, dekat sini, pagi tadi.

Kesemua yang ditahan berumur 22 hingga 45 tahun melibatkan 99 warga India, Bangladesh (88), Pakistan (33), Myanmar (lima), Indonesia (tiga) dan seorang warga Nepal.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, pemeriksaan lanjut mendapati premis itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara.

Selain itu, kilang itu juga melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen iaitu menggunakan tenaga kerja warga asing yang tiada dokumen dan tinggal lebih masa.

“Antara kesalahan dikenal pasti ialah pekerja warga asing tidak memiliki dokumen perjalanan sah selain menyalahgunakan pas dan tinggal lebih masa.

Kilang itu turut dikompaun polis RM10,000 kerana melanggar SOP kawalan pergerakan, selain RM20,000 oleh Jabatan Tenaga Kerja kerana gagal mematuhi SOP pengurusan tempat kerja, katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, kesemua tahanan dibawa menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, dekat sini, untuk siasatan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here