Putrajaya,Mac-
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan siasatan tidak hanya tertumpu terhadap kes seorang wartawan Malaysiakini yang ditahan kerana disyaki menerima rasuah daripada ejen berurusan dengan pekerja asing.
Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata pihaknya turut menjalankan siasatan terhadap sindiket yang disyaki membawa masuk pekerja asing.“Kita sudah cakap banyak kali, kita juga telah siasat isu kartel untuk membawa masuk pekerja asing dalam negara. Siasatan masih dijalankan.
“Tetapi mana-mana pihak memaksa orang membayar wang untuk tidak terbitkan satu artikel… itu satu kesalahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM. Azam berkata wartawan, ahli politik, dan penjawat awam juga boleh disiasat SPRM berhubung dakwaan rasuah.
“Lepas siasatan dijalankan, saya beri jaminan kertas siasatan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk menilai sama ada kes atau tidak.
“Ini adalah praktis kami dan juga berdasarkan pengalaman kami pada kes-kes yang lepas dan merujuk kes-kes yang diputuskan di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan juga Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Sabtu lalu, seorang wartawan Malaysiakini ditahan SPRM kerana didakwa menerima rasuah daripada ejen berurusan dengan pekerja asing.




















