Ramanan Menang Naib Presiden PKR

Kuala Lumpur, Mei-
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan bertekad untuk terus memperjuang semangat reformasi selepas dipilih antara empat Naib Presiden PKR yang baharu dalam pemilihan parti itu semalam.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi satu-satunya pemenang yang bukan penyandang dalam kalangan empat Naib Presiden baharu PKR.

Tiga penyandang itu adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Aminuddin menang selepas memperoleh 7,955 undi di tempat pertama, diikuti Ramanan (5,895 undi); Aminuddin (5,889 undi) serta 5,757 undi diperoleh Lih Kang.

Ramanan berkata, beliau bertekad untuk bukan sahaja membawa suara rakyat dan menjunjung nilai-nilai keadilan, malah mahu memastikan keadilan terus menjadi peneraju perubahan di negara ini.

Susulan kemenangan itu, visi dan misinya adalah untuk membawa suara Malaysia Madani ke pentas nasional dengan semangat reformasi yang tidak pernah luntur.

“Ini bukan sekadar satu kemenangan peribadi, tetapi satu amanah besar yang akan saya pikul dengan penuh tanggungjawab, keikhlasan dan dedikasi. Keadilan bukan sekadar parti, ia adalah rumah perjuangan kita bersama. Parti kita, rumah kita.

“Kita adalah Keadilan. Perjuangan ini adalah perjuangan bersama. Demi rakyat, demi masa depan Malaysia, kita terus melangkah dengan yakin dan teguh,” katanya melalui Facebook.

Dalam pada itu, Ramanan menyeru semua pihak merapatkan kembali saf dan melangkah ke hadapan dengan semangat utuh di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kini adalah masa untuk kita memperkukuh parti, memperkasa idealisme perjuangan dan memastikan Keadilan kekal sebagai wadah utama rakyat yang menjunjung prinsip Malaysia Madani.

“Saya amat menghargai segala bentuk sokongan, mandat dan kepercayaan yang telah diberikan oleh para perwakilan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here