Kuala Lumpur, Julai –
Remaja lelaki mengaku salah di Mahkamah Majistret Kajang atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas guru lelaki, dalam kejadian tular di sebuah sekolah menengah di Kajang, kelmarin.
Tertuduh berusia 14 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.
Mengikut pertuduhan, pelajar peralihan tingkatan 1 berkenaan didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas guru lelaki berusia 29 tahun, dalam kejadian pada 4.48 petang, Isnin lalu.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Menurut Harian Metro, prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Zulbahrin, manakala tertuduh diwakili peguam S. Priyalatha.
Menurut laporan, pengamal media yang membuat liputan pertuduhan kes itu tidak dibenarkan masuk ke dalam mahkamah memandangkan tertuduh adalah pesalah bawah umur.
Ibu bapa remaja terbabit juga dilihat hadir di mahkamah bagi menghadiri prosiding pertuduhan itu.
Ibu remaja terbabit berusia 40-an berkata, tertuduh adalah anak tunggal dan tinggal bersamanya selepas berpisah dengan bekas suami.
Wanita itu memberitahu anaknya kesal dengan tindakan menumbuk guru dan ada memohon maaf kepadanya.




















