Subang, Ogos-
Lima lokasi di negara ini direkodkan mengalami suhu panas luar biasa selama tiga hari berturut-turut sehingga 3 Ogos lalu.
Keadaan itu secara langsung mencetuskan kebimbangan terhadap krisis air, kesihatan awam dan kelangsungan ekonomi luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kawasan terjejas termasuk Bandar Baharu di Kedah, Selama (Perak), Temerloh (Pahang), Limbang (Sarawak) serta Tenom dan Pitas di Sabah, dengan suhu mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
Beliau berkata, susulan situasi tersebut, kerajaan telah melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan Empangan Bukit Merah, Gunung Semanggol, Perak yang kini berada pada tahap kritikal.
Menurutnya, paras takungan air di empangan itu hanya 12.21 peratus atau 19.80 kaki, sekali gus menjejaskan ribuan penduduk serta sektor pertanian dan industri di kawasan sekitar katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Udara TUDM Subang, pada Ahad.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara menjelaskan, usaha itu bukan sahaja bersifat reaktif tetapi satu pelaburan jangka panjang dalam menghadapi kesan perubahan iklim dan cuaca ekstrem.




















