Harga bawang merah naik mendadak

Tinjauan BH di beberapa negeri semalam mendapati harga runcit sekilogram bawang merah India antara RM10 hingga RM15, berbanding antara RM5 hingga RM8 sebelum ini.

Pemborong di Kangar, Shahrudi Abidin, 42, berkata tidak mustahil harga bawang merah India melonjak kepada RM20 sekilogram dalam masa terdekat jika masalah bekalan tidak diatasi segera.

“Tiga hari lalu, pekerja saya terpaksa ke Pulau Pinang bagi mencari bawang merah, namun tidak mendapat sebarang stok kerana pembekal di negeri itu juga kehabisan bekalan,” katanya ketika ditemui di kedainya di Bintong di sini, semalam.

Di Seremban, peniaga makanan, Amira Ahmad, 53, berkata tidak pernah harga bawang merah naik sehingga antara RM11 ke RM14 sekilogram berbanding RM5 sebelum ini.

Beliau menggunakan bawang jenis lain seperti bawang dari Belanda, Pakistan dan China untuk keperluan masakan harian.

Abdul Rashid Ahmad, 65, dari Taman Seri Pagi berkata, harga bawang merah mula naik sejak awal November lalu, tetapi kenaikannya dalam lingkungan RM9 sekilogram

Peruncit di Taman Matahari Height, S Shanti, 50, berkata sukar mendapatkan bekalan bawang merah dari India ketika ini.

“Sudah lebih sebulan saya tidak menjual bawang merah itu kerana harganya mahal,” katanya.

Di Alor Setar, Tinjauan di Pasar Besar mendapati harga bahan itu sekitar RM12 sekilogram.

Pemborong, Tan Gim Teong, 45, mendakwa harga bawang ketika ini adalah tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

“Bawang merah saya jual pada harga RM10 seguni kecil yang beratnya kira-kira 1.2kg, bawang besar pula RM5 lebih dan bawang putih RM7.20.

“Cuma bawang Holland murah sedikit iaitu RM16.50 bagi setiap guni 8kg,” katanya.

Di Kuala Lumpur, peniaga terpaksa menaikkan harga bawang merah sejak beberapa bulan lalu kerana bekalan terhad.

Rata-rata peruncit di sekitar Bangsar menjual bawang merah antara RM12 hingga RM15 sekilogram.

“Bawang besar terpaksa dijual RM5 sekilogram, berbanding sebelum ini sekitar RM2 sahaja, manakala bawang merah hanya RM8, tetapi sekarang dijual dengan harga RM13 iaitu peningkatan RM5,” kata peruncit, Shafeeq Mohammed, 39.

Peniaga ayam penyet, Indah Sakinah Marhum Sani, 42, berkata dia terpaksa membeli juga bawang merah walaupun sedar harganya semakin mahal sejak sebulan lalu.

Di Pasar Segar Terus Segar, harga bawang merah India naik kepada RM7 sekilogram berbanding RM4 sebelum ini.

Di Ipoh, peniaga Pasar Besar Ipoh, Noorjahan Mohd Ibrahim, 41, berkata dia terpaksa menaikkan harga bawang merah RM10 satu kg berbanding RM5 sekilogram sejak dua minggu lalu.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here