Kerajaan Selangor tidak berhasrat henti program air percuma – MB

HULU LANGAT
Kerajaan Negeri Selangor tidak bercadang untuk menghentikan program air percuma untuk golongan sasar meskipun kos perbelanjaannya meningkat setiap tahun, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata ini kerana kedudukan kewangan negeri masih berupaya untuk melaksanakan program itu, bagaimanapun tidak mendedahkan butiran kedudukan kewangan negeri.Katanya program air percuma akan dikekalkan melalui Skim Air Darul Ehsan untuk dinikmati golongan bersasar.

“Sebagai perancangan, kita sudah buat Skim Air Darul Ehsan supaya program air percuma kekal dan berterusan. Kita tidak akan hentikan …selepas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) beroperasi sepenuhnya dan mendapat margin lebih baik sehingga mampu membiayai kos perbelanjaan itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 di sini, hari ini.

Program air percuma yang dinikmati rakyat Selangor sejak 2008 bakal berakhir pada 1 Mac ini apabila kerajaan negeri mengambil keputusan untuk melakukan penjajaran semula subsidi agar ia lebih bersasar dan tidak membebankan kewangan kerajaan negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here