Seorang majikan dan 102 pendatang asing ditahan dalam lapan operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen yang dijalankan di pasar-pasar borong sekitar Lembah Klang, bulan lepas, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.
Sepanjang tahun 2019, katanya 54 majikan serta 726 pendatang asing ditahan melalui 133 operasi penguatkuasaan yang juga dilaksanakan di pasar borong sekitar Lembah Kelang.
“Jabatan Imigresen akan terus memantau dan menjalankan operasi penguatkuasaan daripada semasa ke semasa di pasar-pasar borong,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Khairul Dzaimee, terdapat juga warga asing yang memegang Pas Lawatan Sementara (kerja sementara) yang masih sah, bekerja di pasar-pasar borong itu.