Polis Johor menahan dua beranak dan merampas dadah bernilai RM1.09 juta dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Muar Rabu lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata wanita tempatan berusia 46 tahun bersama anak lelakinya, 26, ditahan sepasukan polis di rumah mereka pada pukul 3.40 petang dan hasilnya, polis menemukan dadah disyaki syabu seberat 21.8 kilogram bernilai RM1.09 juta di dalam sebuah bilik rumah berkenaan.
“Maklumat risikian mendapati kedua-dua suspek aktif mengedar dadah sejak lima tahun lepas. Siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti lokasi (pasaran) dadah dan sama ada mereka ada kaitan dengan sindiket pengedaran dadah,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.