PARIT –
Seorang penghantar surat maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar seekor kerbau di Kilometer 4, Jalan Kampung Gajah-Tanjung Tualang dekat sini, malam tadi.
Muhamad Nor Hasrul Azhar, 24, beralamat di Tanjung Tualang, Batu Gajah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Barudin Wariso berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam mengenai kemalangan jalan raya itu kira-kira pukul 8.20 malam.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal model Honda Wave dari arah Kampung Gajah hendak balik ke rumah di Kampung Sungai Galah.
Sebaik sampai di tempat kejadian mangsa telah melanggar seekor kerbau yang berada di laluannya. Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.