Lelaki maut dipercayai terjatuh tingkat 8 hospital

Sungai Petani, Seorang lelaki dipercayai terjatuh dari tingkat lapan bangunan wad Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini semalam.

Sebelum kejadian jam 6.20 petang itu, lelaki berusia 21 tahun terbabit yang dimasukkan ke wad pada Isnin lalu kerana disyaki menghidap denggi, didakwa menghantuk kepalanya sehingga pecah selepas keluar dari bilik air di wad terbabit.

Dia yang juga menghidap penyakit asma kemudian dilihat meluru keluar menuju koridor sebelum ibunya yang menemani sejak dia dimasukkan ke wad cuba menghalangnya, namun lelaki berkenaan dipercayai terjatuh sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan tertiarap di koridor tengah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata lelaki terbabit dimasukkan ke sebuah wad di tingkat lapan hospital dan ditemani ibunya sepanjang menerima rawatan.

Sebelum kejadian, dia dilihat pesakit lain dalam wad itu menghantuk kepala hingga pecah sebaik keluar dari bilik air sebelum berlari ke koridor. Ketika itu, beberapa pesakit di katil berhampiran pintu koridor cuba membantu, namun usaha mereka gagal kerana pintu berkunci,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, lelaki terbabit disahkan meninggal dunia oleh doktor yang melakukan pemeriksaan dan hasil keterangan lanjut ibunya, dia dikatakan tidak mempunyai hutang atau berselisih faham dengan sesiapa.

“Doktor yang merawat lelaki berkenaan juga memaklumkan dia tidak dijangkiti denggi, namun mempunyai masalah asma. Setakat ini, siasatan mendapati kes ini tiada unsur jenayah dan diklasifikasi sebagai mati mengejut, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here