Kelapa Sawit: Hubungan baik Malaysia dengan India

KUALA LUMPUR : Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang baharu, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali komited untuk membina hubungan Malaysia dengan India yang lebih baik, khususnya bagi melonjakkan eksport minyak sawit.

Eksport komoditi itu mengalami penurunan selepas jalinan di antara kedua-dua negara menjadi tegang susulan pertikaian politik yang dikaitkan dengan kritikan ke atas tindakan New Delhi di Kashmir serta undang-undang kewarganegaraan baharu.

 kementerian akan menghantar delegasi ke India secepat yang mungkin untuk menyelesaikan isu berkenaan menerusi perundingan.

“Kita akan sediakan kertas Kabinet untuk isu ini. Antara langkah awal  yang kita laksanakan dalam kerajaan baharu ialah membina hubungan dengan India yang lebih baik khusus berkaitan isu sawit,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata bagi kertas Kabinet itu, antara cadangan adalah untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan lawatan rasmi ke India.

Fokus beliau turut terarah untuk membantu golongan pekebun kecil getah melalui kenaikan paras harga Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

“Saya ada hasrat untuk menaikkan kadar IPG bagi getah sekerap kepada lebih tinggi tetapi kementerian kena kaji terlebih dahulu, dan saya berharap ia akan menjadi yang terbaik kepada penoreh getah.” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here