Hari Pertama Ismail Sabri sebagai Menteri Pertahanan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini secara rasmi memulakan tugasnya sebagai Menteri Pertahanan.

Beliau tiba pukul 9.30 pagi di Dataran Wisma Pertahanan di Jalan Padang Tembak di sini, disambut timbalannya Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang turut memulakan tugas rasminya hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tan Sri Affendi Buang serta panglima-panglima perkhidmatan.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan kemudiannya menerima tabik hormat kawalan kehormatan utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mej Mohd Izham Ahmad Rashidi.

Sebaik tiba, beliau mengimbas kad sebagai tanda memulakan tugas di kementerian itu dan mengaminkan bacaan doa serta beramah mesra dengan petugas kementerian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here