Kerajaan Negeri Terengganu bantu pemandu teksi, kereta sewa, bas dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri

KUALA LUMPUR: Seramai 557 pemandu teksi / kereta sewa dan bas di seluruh Negeri
Terengganu tersenarai untuk menerima bantuan caruman Skim Keselamatan Sosial
Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO, iaitu sebanyak RM232.80 seorang selama setahun
daripada Kerajaan Negeri Terengganu. Jumlah keseluruhannya melibatkan bayaran
caruman sebanyak RM129,669.60.

Peruntukan ini membuktikan penghargaan dan komitmen Kerajaan Negeri Terengganu akan kebajikan pemandu-pemandu teksi/kereta sewa dan bas di seluruh Negeri Terengganu melalui perlindungan keselamatan sosial sekiranya berlaku musibah ketika menjalankan tugas mereka.

PERKESO telah menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 mulai 1
Jun 2017 yang memberi perlindungan kepada mereka yang bekerja sendiri di bawah Skim
Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS). Sebagai permulaan, skim ini diwajibkan ke
atas sektor pengangkutan penumpang iaitu pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas.

Mulai 1 Januari 2020, perlindungan SKSPS telah diperluaskan kepada 19 sektor pekerjaan sendiri yang lain, menjadikan kesemuanya 20 sektor. Ini termasuk sektor pengangkutan barangan dan makanan.

Sehingga 3 April 2020, hanya seramai 49,183 pencarum aktif direkodkan berdaftar dan
mencarum di bawah SKSPS berbanding anggaran orang bekerja sendiri seramai 2.8 juta
orang di seluruh negara.

PERKESO menggesa orang bekerja sendiri yang layak agar segera mendaftar bagi
memastikan mereka mendapat perlindungan di bawah SKSPS. Skim ini bukan sahaja
menyediakan perlindungan kepada pencarum yang bekerja sendiri tetapi juga menjamin
masa depan tanggungan mereka jika berlaku kematian berkaitan bencana pekerjaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here