Kawalan sempadan Sarawak diperketat elak pencerobohan

 

Ekoran beberapa cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menceroboh masuk perairan Malaysia sejak kebelakangan ini, Maritim Negeri Sarawak bersama-sama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) telah mewujudkan kerjasama bagi memperkukuhkan benteng sempadan perairan negara khasnya di kawasan perairan Tanjung Datu.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan, operasi bersepadu yang dilaksanakan itu bukan sahaja bagi mengekang kemasukan warga asing secara haram ke negeri ini tetapi juga sebagai langkah pencegahan kepada jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan manusia, penyeludupan barang terkawal, senjata dan dadah bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Jelas beliau, Ops Benteng telah diaktifkan pada 12 Mei lalu di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diberi mandat untuk menyelaras operasi kawalan persempadanan negara.

“Pasukan ini mendapat kerjasama agensi penguatkuasaan lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Sukarelawan Malaysia.

“Dengan jalinan kerjasama antara beberapa agensi ini juga merupakan inisiatif bagi memperkasa dan mengoptimumkan penggunaan aset dalam mengawal perairan negara.

“Walaupun jenayah melalui jalan air antara sempadan Sarawak dan Indonesia boleh dikategorikan dalam peratusan yang rendah, namun kami sebagai penguatkuasa yang bertanggungjawab menjaga perairan negara sentiasa mengambil langkah pencegahan,” tambahnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada sebuah keluarga di Kampung Muara Tebas, Jalan Bako yang ditimpa musibah selepas rumah mereka musnah dijilat api dalam kebakaran yang berlaku pada 23 Mei lalu.

“Saya harap sumbangan yang disampaikan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here