Makan durian sebelum, selepas vaksinasi tidak memberi kesan sampingan, kata timbalan menteri

PETALING JAYA: Tidak ada kesan sampingan terhadap penerima vaksin jika mereka makan durian sebelum atau selepas vaksinasi, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali. Noor Azmi berkata, apa yang tular di media sosial mengenai lelaki didakwa meninggal dunia kerana makan durian selepas divaksinasi adalah tidak benar.

Tidak termaktub dalam buku perubatan tidak boleh makan durian selepas cucuk (vaksin). Ini tidak betul, yang betulnya kita tidak boleh makan benda (makanan) terlalu manis. Itu yang (boleh membawa) masalah kepada kesihatan.

“Jadi, tular (hantaran mendakwa seorang lelaki meninggal dunia kerana makan durian selepas menerima vaksin) adalah tidak benar dan sudah disahkan kematian disebabkan serangan jantung,” katanya menurut laporan Berita Harian. Terdahulu, Noor Azmi melawat dan meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Merdeka Tapah, Perak, hari ini.

Beliau mengulas hantaran di media sosial yang mendakwa seorang lelaki meninggal dunia di sebuah restoran kerana makan durian selepas menerima vaksin baru-baru ini. Katanya, hantaran tular seumpama itu boleh menyebabkan berlaku salah faham dan kekeliruan kepada orang ramai.

“Sekarang pula musim durian. Orang sudah takut nak makan durian, mana yang sepatutnya cucuk (vaksin) dia takut nak pergi sebab dia nak makan durian.

Kita nasihat orang ramai supaya semak dahulu, pastikan kebenarannya. Jangan teruja mahu menularkan kepada semua dan perkara kontroversi yang kita sendiri tidak pasti. Jangan hantar (sebar), biarlah kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjawabnya dan menjelaskan secara saintifik dan data,katanya.

Sebelum ini media melaporkan, kematian seorang lelaki yang didakwa meninggal dunia kerana makan durian selepas suntikan vaksin terungkai apabila punca kematiannya disahkan akibat serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai, dilaporkan berkata pihaknya menerima maklumat satu kes kematian dilaporkan di sebuah restoran di Taman Sri Bintang, Kuala Lumpur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here