Pergerakan Tanah Ada Berlaku Tapi Jangan Bimbang – UPBN

Penduduk kawasan berhampiran Taman Kelab Ukay 4, Bukit Antarabangsa di sini yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh Sabtu lepas, tidak perlu bimbang walaupun pergerakan tanah di kawasan itu masih aktif.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata ini kerana pemantauan gerak cerun secara manual sejak dua hari lepas mendapati pergerakan tanah yang aktif mengikut kawasan berbeza.

“Pergerakan tanah ada berlaku tetapi penduduk tidak perlu bimbang kerana kawasan rumah yang lain berada dalam keadaan tidak berisiko berbanding kawasan rumah terjejas.

“Namun, kita akan mengambil langkah berjaga-jaga dan pemantauan dari semasa ke semasa akan dilakukan. Setakat ini, Majlis Perbandaran Ampang Jaya melalui kontraktor yang dilantik, telah menutup rekahan tanah dengan kanvas seluas 1,200 meter persegi bagi mengelakkan berlaku mendapan tanah,” katanya.

Ahmad Fairuz berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kerja baik pulih kawasan kejadian tanah runtuh di kawasan perumahan itu, di sini hari ini.

Ahmad Fairuz berkata penanaman dinding besi bagi menahan pergerakan tanah di Sungai Sering juga dilaksanakan dan proses itu dijangka siap esok sebelum proses membaiki struktur anak sungai dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Proses baik pulih cerun ini akan memakan masa enam bulan untuk siap dan penduduk terjejas dinasihat mengosongkan rumah atas faktor keselamatan ,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata tujuh anggota akan memantau dan berkawal dalam tempoh dua minggu ini bagi memastikan kawasan kejadian dan rumah penduduk selamat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here