Beri Kerjasama Jalani Saringan, Patuh SOP Perintah Kawalan

Penduduk di tiga zon Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran di Kuala Langat diminta memberi kerjasama menjalani saringan Covid-19 yang dijangka selesai hari ini, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil.

Adhif Shan Abdullah berkata setakat ini keadaan setempat terkawal kerana penduduk diberikan kelonggaran bergerak dalam kawasan untuk tujuan berkaitan selain membeli barang keperluan.

“Jangan ingkar arahan Semi PKPD (PKP Pentadbiran), patuh tatacara operasi piawai (SOP) dan amalkan normal kehidupan baharu. Sayangi diri dan keluarga kita,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan 1,500 bakul makanan untuk penduduk di samping keperluan petugas hadapan bertugas sepanjang PKP Pentadbiran.

PKP Pentadbiran dilaksanakan di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama, Bukit Changgang, Kuala Langat berikutan kes 24 pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati positif Covid-19 pada 28 Mei lalu dengan 20 daripadanya menetap di Kuala Langat dan empat lagi di Nilai, Negeri Sembilan.

Perintah selama dua minggu bermula Selasa hingga 16 Jun ini merupakan yang terbesar di Malaysia dengan pemasangan pagar kawat berduri terpanjang dengan jarak 4.1 kilometer.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here