Keadaan COVID-19 “semakin buruk” di seluruh dunia: WHO

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pada Isnin (8 Jun) bahawa keadaan pandemik COVID-19 semakin buruk di seluruh dunia, lantas memberi amaran supaya tiada negara akan mudah berpuas hati dengan pencapaian mengekang penularan virus itu ketika ini.

Menurut WHO, ia mencatat jumlah harian tertinggi harian bagi kes jangkitan baru, dengan angka jangkitan melonjak di rantau Amerika.

Ketika tunjuk perasaan besar-besaran diadakan bagi menuntut keadilan dalam isu perkauman di seluruh Amerika Syarikat (AS), agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menggesa sesiapa yang menyertai bantahan itu untuk melakukannya dengan selamat.

COVID-19 telah meragut lebih 403,000 nyawa daripada sekurang-kurangnya tujuh juta orang yang dijangkiti sejak wabak itu muncul di China pada Disember lalu, menurut laporan dari sumber rasmi yang diselia oleh AFP.

Selepas Asia Timur, Eropah menjadi pusat penularan penyakit itu, tetapi kini ia diambil alih oleh rantau Amerika.

“Walaupun keadaan di Eropah bertambah baik, secara global ia semakin buruk,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus di satu sidang media maya di Geneva.

“Lebih 100,000 kes dilaporkan pada sembilan dari 10 hari yang lalu. Semalam, lebih daripada 136,000 kes dilaporkan – paling tinggi dalam satu hari setakat ini,” katanya.

Beliau berkata hampir 75 peratus kes pada Ahad dicatatkan di 10 negara – kebanyakannya di rantau Amerika dan Asia Selatan.

Encik Tedros mengingatkan bahawa di negara-negara di mana situasinya bertambah baik, “ancaman terbesar sekarang adalah sikap mudah berpuas hati”, sambil menambah “kebanyakan penduduk di seluruh dunia masih terdedah kepada jangkitan.”

“Lebih enam bulan selepas pandemik ini bermula, ini bukan waktunya bagi mana-mana negara untuk bersikap leka,” katanya.

Mengulas tentang bantahan besar-besaran ke atas pembunuhan George Floyd pada 25 Mei, Encik Tedros menggalakkan pengawasan berterusan terhadap virus itu bagi memastikan ia tidak melonjak semula terutamanya dalam situasi perhimpunan beramai-ramai.

“WHO menyokong sepenuhnya kesaksamaan dan gerakan global menentang perkauman. Kami menolak semua jenis diskriminasi, ” katanya.

“Kami menggalakkan semua yang melakukan tunjuk perasaan di seluruh dunia untuk melakukannya dengan selamat.

“Seboleh-bolehnya, jaga jarak sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain, cuci tangan anda, tutup mulut ketika batuk dan pakai topeng jika anda menghadiri tunjuk perasaan.

“Duduk di rumah jika anda sakit dan hubungi penyedia jagaan kesihatan,” katanya.

WHO terus menekankan pentingnya mengesan mereka yang mungkin berhubung secara berterusan dengan orang yang dijangkiti.

Pengarah kecemasan WHO, Michael Ryan, berkata bahawa seseorang yang telah menghadiri satu bantahan besar-besaran tidak semestinya memenuhi takrifan orang yang berhubung rapat.

“Ia kembali ke analisis kesihatan awam tempatan dan pengurusan risiko tempatan,” katanya.

Sementara itu, Encik Tedros mengatakan bahawa WHO sudah menghantar lebih lima juta peralatan perlindungan diri (PPE) ke 110 negara.

Badan kesihatan global itu menyasarkan untuk menghantar lebih 129 juta barangan PPE ke 126 negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here