Gerbang malam kembali operasi

Setelah dua bulan tidak beroperasi, Gerbang Malam yang berada di sepanjang Jalan Dato Tahwil Azar, dekat sini kembali membuka ‘pintunya’ malam tadi bagi kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Walaupun keadaan hujan yang bermula sekitar jam 8 malam namun ianya tidak mematahkan semangat lebih daripada 30 peniaga untuk kembali memulakan perniagaan masing-masing.

Namun pada masa sama, susulan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) beberapa prosedur operasi standard (SOP) telah ditetapkan bagi terus mengekang penularan COVID-19.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berbanding biasa, kali ini hanya sekitar 60 peniaga yang dibenarkan beroperasi secara giliran pada satu-satu masa.

“Ianya ada penggiliran. Seperti pada malam ini sepatutnya dibenarkan 60 peniaga beroperasi. Namun mungkin disebabkan faktor cuaca, hanya 37 yang berniaga.

“Sistem penggiliran ini akan ditetapkan pada tiap-tiap malam. Dijangka pada malam esok (hari ini) kehadiran akan lebih ramai,” katanya. 

Selain itu ujarnya penjarakkan 3 meter dikenakan bagi setiap khemah perniagaan yang beroperasi di Gerbang Malam.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Gerbang Malam di sini, malam tadi.           

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here