Jadikan PRK Chini Paling Terbaik

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin beranggapan, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini adalah medan operasi dan contoh terbaik untuk dijadikan panduan bagi pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dalam masa terdekat.

Ini kerana katanya, PRU-15 adalah jalan terakhir yang perlu Kerajaan Malaysia laksanakan dalam masa terdekat demi menjamin kestabilan politik dan mendapat keyakinan rakyat sepenuhnya.

“Walaupun pahit untuk melaksanakannya di saat pasca COVID-19, namun demi menarik semula para pelabur asing untuk melabur, melihat sikap segelintir ahli politik yang terus menerus ‘tawar menawar’ Ahli Parlimen dan DUN, kedudukan kerusi Parlimen yang tidak kukuh, maka saya yakin dan percaya bahawa rakyat mengharapkan agar PRU dapat disegerakan.

“Selepas PRU nanti, saya mengharapkan agar tiada lagi perangai-perangai ahli politik yang tidak disenangi rakyat dan rakyat perlu menilai, pilihlah calon dan parti yang dapat membawa mandat rakyat keseluruhan supaya kebajikan terbela, ekonomi negara diperkukuh, kestabilan politik dapat dicapai dan kemakmuran negara terus dikecapi selamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, sebagai rakyat, beliau mengharapkan agar pihak Kerajaan Malaysia dapat mengambil pandangan tersebut.

“Ini supaya rakyat tidak lagi diperkotak-katikkan dan kami sudah menyampah dengan politik ‘jual beli’ Ahli Parlimen.

“Janganlah hanya retorik ‘Kekal Berprinsip’ semata-mata mengejar kuasa yang hilang, hanya untuk menyelamatkan diri sendiri,” katanya lagi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai.

Setakat ini lapan borang pencalonan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini sudah dibeli daripada pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang di Kuantan sehingga hari ini.

Pengarah SPR Pahang Datuk Zamree Hamli berkata, empat borang dibeli wakil Barisan Nasional (BN), manakala empat lagi oleh wakil bebas.

Katanya, borang pencalonan itu mula dijual sejak 15 Mei lalu di pejabat SPR Pahang dan di Pejabat Daerah dan Tanah Pekan, dekat sini.

PRK DUN Chini diadakan selepas penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun meninggal dunia pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur kerana serangan jantung. 

SPR menetapkan PRK DUN Chini pada 4 Julai dengan 20 Jun ini sebagai hari penamaan, manakala hari pengundian awal pada 30 Jun.

 

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, manakala calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here