Meletupnya Klinik Pergigian

Sebuah klinik pergigian yang mengalami kebakaran kecil meletup secara tiba-tiba dalam kejadian di Putatan, di sini, hari ini.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, letupan berkenaan turut menyebabkan dinding belakang klinik berkenaan roboh selain pintu kaca di bahagian hadapan juga berkecai.

 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zainal @ John Radsung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 1.05 tengah hari.

 

Katanya sepasukan 17 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.

 

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, keadaan premis klinik pergigian yang terletak di tingkat satu berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian depan dan belakang premis.

 

 “Api berjaya dipadam oleh orang awam menggunakan alat pemadam api dan pasukan bomba yang tiba di lokasi segera melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi punca yang boleh mencetuskan kebakaran atau letupan semula,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

 

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian hanya membabitkan kebakaran kecil namun berlaku letupan dipercayai daripada bahagian makmal klinik berkenaan.

 

Katanya bahagian Forensik JBPM masih menjalankan pemeriksaan lanjut bagi mengenalpasti punca sebenar kebakaran serta letupan berkenaan.

 

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian dan jumlah kerugian dalam insiden berkenaan,” katanya.                                                     

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here