PRK Kuala Kubu Baharu: Ramasamy gesa PN letak calon India

Kuala Lumpur, Apr.
Bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang P Ramasamy menggesa Perikatan Nasional (PN) agar meletakkan calon berbangsa India pada PRK Kuala Kubu Baharu bulan depan.

Ramasamy, yang menerajui Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) berkata, PN perlu mewujudkan tanggapan positif terhadapnya dalam kalangan golongan bukan Melayu, terutamanya yang berbangsa India, untuk meluaskan tarikannya melangkaui pengundi Melayu.

“Sebelum PRK (Kuala Kubu Baharu) pada 11 Mei, pemimpin PN harus tampil untuk menangani beberapa keraguan orang bukan Melayu berhubung pembangkang.

“Mereka harus menekankan keterangkuman kaum dalam pendekatan mereka terhadap politik negara,” katanya dalam kenyataan. Minggu lepas, Ramasamy berkata, Urimai akan menasihati pengundi agar tidak menyokong calon DAP Pakatan Harapan (PH) pada PRK Kuala Kubu Baharu ekoran rasa tidak puas hati atas layanan kerajaan perpaduan terhadap masyarakat India.

Beliau berkata, tugas utama Urimai adalah untuk “memberikan pengajaran yang menyakitkan kepada kerajaan Madani pimpinan PH.”

Katanya, kekecewaan semakin meningkat dalam kalangan pengundi India susulan janji yang tidak ditepati dan penghinaan yang dirasakan daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata, PN harus menunjukkan rasa hormat dan penghargaan kepada komuniti itu dengan meletakkan calon India untuk mewakilinya pada pilihan raya.

Katanya, perkara ini juga patut dilakukan memandangkan kaum India ialah golongan “paling kurang beruntung”.

“Langkah PN meletakkan calon India akan memberikan impak yang begitu penting terhadap politik negara secara amnya, dan masyarakat India khususnya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here