Struktur besi bengkok menyebabkan kerangka projek pembinaaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Batu 2, Jalan Meru, Klang runtuh semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata kejadian berlaku ketika pekerja sedang melakukan proses menuang konkrit, lapor Berita Harian.
“Tiada kecederaan dilaporkan. Hanya kerosakan alat pembinaan, namun nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Susulan itu, beberapa jalan di lokasi berkenaan ditutup di kedua-dua arah selama lima hari dan dilencongkan bagi membolehkan kerja pembersihan dibuat.
Kejadian pada jam 5.15 pagi menyebabkan trafik sesak di lokasi kejadian, namun kembali lancar selepas dikawal polis.