Sering memuatkan ciapan berunsur usikan dan teguran di Twitter, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf akhir-akhir ini bercerita pula mengenai harapannya untuk melihat golongan muda dibenarkan menubuhkan parti politik baharu.
Menurut Datuk Hussamuddin Yaacub, 66, anak muda pelbagai lapisan kaum mesti digalakkan dengan memberi kebenaran bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, dengan umur calon sekitar 30-an.
“Saya sarankan anak-anak muda pelbagai kaum atau agama bawah umur 30 tahun dibenarkan tubuh sebuah parti politik baru (berasaskan nilai dan moral bangsa seperti yang termaktub dalam Rukun Negara),” tulis Hussamuddin di Twitter.
Saya sarankan anak2 muda pelbagai kaum/agama bawah umur 30 tahun dibenarkan tubuh sebuah partai politik baru (berasaskan nilai & moral bangsa spt termaktub dlm Rukun Negara),untuk pendedahan/persiapkan diri untuk bertanding di PRU17, ketika itu umur calun sekitar 30-38 tahun.
Katanya, parti politik itu nanti perlu menempuh dua pilihan raya sebelum dibenarkan bertanding, misalnya pada Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU-17) iaitu sekitar tahun 2030 atau 2033 nanti.
Tambahnya, cadangan itu bagi mewujudkan keseimbangan politik negara kerana parti-parti sedia ada sering menghadapi masalah legasi dan kawalan daripada ‘orang lama’.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) sejak minggu lalu sering meluahkan keinginan hatinya untuk melihat negara dipimpin oleh golongan bawah umur 50 tahun.
Menurutnya, kepimpinan yang membawa naratif baru itu demi melihat cucunya, Dian yang kini berusia 3 tahun dapat membesar dengan aman harmoni.
“Saya berdoa agar dia dan generasinya dapat membesar di Malaysia yang harmoni dan makmur di mana rakyat berpegang pada nilai moral bangsa yang tinggi serta diterajui oleh para pemimpin yang berintegriti & berprinsip,” tulis Hussamuddin pada ciapan minggu lalu.