Gempa Bumi MEXICO-4 Maut

Gempa bumi kuat berukuran 7.5 pada skala Richter, yang melanda negeri Oaxaca di selatan Mexico pada Selasa (24 Jun), meragut empat nyawa dan mencederakan empat yang lain. Ini menurut laporan agensi berita Xinhua yang memetik Penyelarasan Perlindungan Awam Kebangsaan (CNPC).

Gegaran pada 10.29 pagi waktu tempatan (1629 GMT) itu berpusat 23 kilometer ke selatan La Crucecita, sebuah perkampungan Pantai Pasifik di selatan Oaxaca, berdasarkan Perkhidmatan Seismologi Kebangsaan (SSN) melalui Twitter.

Dua lelaki serta seorang wanita antara yang maut akibat dihempap bumbung dan dinding runtuh.

Mangsa keempat, seorang lelaki yang bekerja di syarikat minyak Pemex, maut akibat terjatuh dari bangunan dan disahkan meninggal dunia di hospital.

Gegaran turut dirasakan di 12 kawasan di bahagian-bahagian selatan dan tengah pada 2.30 petang waktu tempatan (2030 GMT), dengan lebih 447 gempa susulan dilaporkan. 

Beberapa bangunan termasuk rumah, pasar, sekolah, gereja dan empat hospital di lokasi yang berbeza mengalami kerosakan, menurut CNPC.

Di Mexico City, 32 bangunan di kawasan pusat bandar berhampiran Istana Negara turut mengalami kerosakan.

Loji penapis minyak Mexico di Salina Cruz, kira-kira 143 kilometer dari La Crucecita, menghentikan sementara operasi sebagai langkah berjaga-jaga.

Amaran tsunami juga dikeluarkan di pantai Oaxaca dan penduduk dinasihatkan menjauhi kawasan itu.

Dalam tempoh 35 tahun kebelakangan ini, beberapa gempa kuat berlaku di selatan dan tengah Mexico, menyebabkan kematian serta kemusnahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here