Kuala Lumpur, Mac.
Harga sayur dijangkakan akan mengalami kenaikan sehingga 25 peratus mulai bulan depan sekiranya isu kuota pekerja asing terus membelenggu mereka.
Ini berikutan kekurangan pekerja asing yang kritikal masih dialami sektor berkenaan sehingga ia menjejaskan bekalan serta diburukkan lagi dengan langkah kerajaan membatalkan kuota pekerja asing yang tidak digunakan sebelum 31 Mac ini, dua persatuan mewakili pengusaha sayur terbesar di negara ini menjangkakan perkara ini.
Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia menjangkakan bekalan mula terjejas bulan depan manakala Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands menjangkakan ‘bekalan lebih buruk pada Mei dan boleh berlarutan hingga Julai’.
Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee, berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan pengalaman pengusaha sayur yang berdepan senario kekurangan tenaga buruh kritikal ketika penularan wabak COVID-19 dahulu.
Kita jangkakan mulai bulan depan harga sayur akan melonjak sehingga 25 peratus kesan daripada kekurangan tenaga kerja kritikal disebabkan pembatalan kuota pekerja asing yang tidak digunakan itu.