Mayat wanita separuh bogel ditemui berulat

Mayat seorang wanita ditemukan dalam keadaan berulat di sebuah ladang kelapa sawit, Jalan Bidor – Sungkai di sini semalam.

Mayat wanita tanpa identiti itu ditemui oleh orang awam sebelum memaklumkannya kepada polis pada jam 1.45 petang.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa dianggarkan berusia 40 hingga 50 tahun itu ditemui di cerun belukar ladang berkenaan.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira 200 meter dari jalan utama ladang tersebut.

“Mayat itu ditemui terlentang dalam keadaan separuh bogel dengan seluruh anggota badan kembung dan berulat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak, pegawai patologi dan kakitangan pejabat kesihatan telah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Siasatan di lokasi tidak menemui sebarang senjata yang boleh dikaitkan dengan mangsa serta tidak dapat memastikan punca kecederaan dan bangsa si mati.

“Justeru itu, mayat dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menjalani bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.

Wan Azharuddin berkata, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan hasil bedah siasat.

“Bedah siasat akan dijalankan pada jam 9 pagi hari ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here