Bukan Kerja Pemburu Haram, Ratusan Gajah Tiba-Tiba Mati Secara Misteri

Ratusan gajah telah mati secara misteri di Delta Okavango yang terkenal di Botswana, kata ketua jabatan hidupan liar pada Khamis, pihaknya menolak ia disebabkan aktiviti pemburu haram kerana gading gajah-gajah tersebut masih ada. Negara Afrika selatan ini mempunyai populasi gajah terbesar di dunia, dianggarkan sekitar 130,000.

“Kami menerima laporan mengenai 356 gajah mati di wilayah utara Delta Okavango dan mengesahkan 275 dari jumlah kematian itu,” kata Cyril Taolo, pemangku pengarah jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara.

Dia mengatakan punca kematian masih belum dapat dipastikan.

 “Kami tidak mengesyaki perburuan liar kerana haiwan itu dijumpai dengan gading,” katanya.

Sampel telah dikumpulkan dan dihantar ke Afrika Selatan, Zimbabwe dan Kanada untuk ujian.

Kematian serupa dilaporkan pertama kali pada bulan Mei ketika pihak berkuasa menemui 12 bangkai hanya dalam seminggu di dua kampung di barat laut negara itu.

Penemuan terbaru itu ditandai oleh badan amal pemuliharaan hidupan liar, Elephants Without Borders (EWB), yang laporan sulitnya yang merujuk kepada 356 gajah mati telah dibocorkan kepada media pada hari Rabu.

EWB mengesyaki gajah telah mati di kawasan itu selama kira-kira tiga bulan.

Menurut laporan bertarikh 19 June 2020, “70 peratus bangkai gajah ditemui baru-baru ini, telah meninggal sekitar sebulan yang lalu, dan 30 peratus bangkai kelihatan segar, berumur antara satu hari hingga dua minggu”.

“Ada bukti yang baik untuk menunjukkan bahawa gajah dari segala usia dan jenis kelamin nampaknya mati,” kata laporan yang ditulis oleh pengarah EWB, Mike Chase.

Beberapa gajah hidup kelihatan lemah, lesu dan kurus, dengan beberapa menunjukkan tanda-tanda disorientasi, kesukaran berjalan atau lemas, kata EWB.

“Satu gajah diperhatikan berjalan dalam bulatan, tidak dapat mengubah arah walaupun didorong oleh anggota kawanan lain,” kata laporan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here