PASUKAN GERAKAN AM BERJAYA SERBU RAMPASAN TERBESAR PENYELUDUPAN ROKOK DI DAERAH KLUANG

Kluang, Jul 28-

Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Simpang Renggam berjaya melumpuhkan satu kegiatan sindiket penjualan dan pengedaran rokok seludup bernilai RM987,456 susulan penahanan seorang lelaki berusia 59 tahun di sebuah premis di Jalan Murni, Paloh, jam 9.30 malam tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Superintendan Dimin Awang berkata, rokok seludup atau ‘lari cukai’ pelbagai jenama berjumlah 5,580 karton itu, dijumpai di dalam sebuah rumah kosong dan ia adalah rampasan terbesar di daerah ini, sepanjang tahun ini.

Katanya, individu berkenaan dipercayai sudah melakukan perbuatan itu, sejak tiga bulan lalu dengan yang dipercayai diseludup dari Indonesia.

Antara jenama rokok yang diseludup adalah Virginia Merah, Lee Merah, Luffman Classic, L. A. Bolt, Thoroughbred International, Kenyon Plast, dan Surya Kudung Karang telah disita.

“Turut dirampas sebuah telefon bimbit milik suspek yang dianggarkan bernilai RM 1,000. Hasil siasatan awal, suspek dipercayai menjadikan premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar Kluang.

“Jumlah anggaran nilai rokok adalah RM 269,324 dan nilai cukai rokok sahaja mencecah RM 717,132 menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah RM 987,456,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan itu berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar daerah ini.

Katanya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here