Mural Agong, jeneral perang Covid-19 warnai belakang gerai mamak

Mural potret Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah diabadikan di sebuah bangunan di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di sini.

Sentuhan Suhaimi Ali, 27, bagi menunjukkan rasa hormat dan penghargaan kepada jeneral perang Covid-19 itu dan petugas barisan hadapan yang bersungguh-sungguh melawan penularan wabak, lapor Free Malaysia Today.

“Lukisan Dr Noor Hisham paling terbaharu dihasilkan pada 27 Jun dan siap keesokan harinya,” katanya yang memaklumkan karya dihasilkan di belakang gerai mamak selepas mendapat izin.

Suhaimi Ali melukis mural Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada 27 Jun lalu.
Mural tersebut menarik perhatian ketua pengarah kesihatan yang menulis di Twitter: “Hebat, kalian sangat berbakat dan luar biasa. Bagus.”

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara itu turut menghasilkan mural Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di lokasi sama pada 7 Mac lalu.

Dua lagi rakannya Firdaus Nordin dan Abdul Hadi Ramli pula melukis potret Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Sementara itu, memetik Bernama, Suhaimi setakat ini menghasilkan lebih 200 mural di seluruh negara sejak berkecimpung dalam bidang seni lukis empat tahun lalu.

Ditanya mengenai perancangan terdekatnya, pemuda berkulit hitam manis itu bercadang mengabadikan potret trio Bujang Lapok iaitu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham Datuk Aziz Sattar dan Allahyarham S. Shamsuddin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here