Gajah mengamuk pijak kereta

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menjalankan pemantauan ketat di laluan Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli susulan kejadian gajah mengamuk dan memijak kenderaan seperti video tular sejak kelmarin.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8 malam itu bagaimanapun hanya membabitkan kerosakan pada kenderaan dan tidak melibatkan kemalangan jiwa.

“Sebaik menerima laporan, anggota kita ditugaskan ke sana untuk menghalau gajah berkenaan. Pemantauan telah dilakukan di sekitar kawasan itu sehingga ke hari ini,” katanya.

Menurutnya, kawasan itu menjadi habitat gajah dan kejadian kemungkinan berlaku ketika haiwan terbabit melintas jalan.

“Kita nasihatkan orang ramai yang terserempak dengan kumpulan gajah supaya tidak melakukan provokasi yang boleh menyebabkan gajah berasa terancam dengan tidak memasang lampu tinggi atau membunyikan hon.

“Paling penting sekiranya berdepan situasi sebegini agar terus kekal bertenang dan tidak cepat panik,” katanya.

Dalam kejadian itu, pemandu dan penumpang sebuah kereta jenis Perodua Axia melalui detik mencemaskan apabila kenderaan mereka dipijak gajah.

Berdasarkan maklumat dan video dikongsi pengguna jalan raya di Facebook ‘Hanya Di Kelate’, kejadian itu menyebabkan kereta berkenaan remuk teruk di bahagian hadapan dan tersadai di bahu jalan dengan seekor gajah besar berada di bahagian tepi sebelah pemandu sementara seekor lagi pada jarak satu kilometer.

Kejadian turut menyebabkan banyak kenderaan berpatah balik ke hentian Titiwangsa sementara selebihnya berhenti di tepi jalan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila ada kenderaan membunyikan hon menyebabkan haiwan itu terkejut dan menyerang kereta berhampiran.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood mengesahkan kejadian hanya melibatkan kerosakan kecil pada kenderaan.

“Pemandu dan penumpang kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here