Warga Korea Selatan ‘cuci’ wang kertas takut kena Covid-19

Bimbang  Ekoran peningkatan semula kes positif Covid-19, rakyat Korea Selatan sanggup cuci wang kertas won dalam simpanan mereka dek khuatir akan dijangkiti oleh wabak maut itu.

Media tempatan melaporkan, ramai dikesan membersihkan mata wang tempatan itu dengan mesin basuh pakaian selain ketuhar gelombang mikro konon ‘bunuh’ virus bahaya berkenaan.

Pihak Bank of Korea (BOK) melalui satu kenyataan di ibu kota Seoul mendedahkan peningkatan kes tersebut dalam tempoh enam bulan lalu susulan penularan pandemik muncul di negara itu.

Situasi luar biasa itu dikesan apabila ramai datang ke bank pusat berkenaan untuk tukar wang yang mereka ada dalam keadaan sudah terbakar dan diganti nota baharu dengan nilai serupa.

Seorang pegawai BOK menyatakan, jumlah penukaran dari Januari hingga Jun lepas sebanyak 1.32 bilion won (RM4.7 juta) walhal tempoh sama tahun lalu hanya 480 juta won (RM1.7 juta).

“Sebahagian besar berbuat demikian akhirnya akui telah cuba mensterilkan wang dalam ketuhar gelombang mikro dan ada juga guna mesin cuci pakaian bagi nyah kuman Covid-19,” katanya.

Beliau turut bongkar satu kes nadir apabila seorang penduduk tempatan datang ke pejabat BOK semata-mata tukar wang simpanan peribadinya yang cecah jumlah 35.5 juta won (RM126,100).

Namun, pihak BOK cuma dapat ganti balik 22.9 juta won (RM81,300) kerana kebanyakan wang berkenaan sudah rosak teruk terbakar akibat dibiar terlalu lama dalam ketuhar gelombang mikro.

Bank itu turut menasihati masyarakat agar tidak steril atau cuci wang mereka kerana setakat ini belum ada lagi bukti secara saintifik kononnya dua kaedah tersebut mampu basmi virus korona.

Sebaliknya mereka boleh tukar terus wang berkenaan dengan nilai sama kerana peraturan BOK memang membenarkan pertukaran normal setiap kali transaksi hingga 23 juta won (RM82,000).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here