Lebih 80 korban arak todi di India

Lebih 80 orang telah meninggal dunia sejak beberapa hari lepas selepas meminum todi atau arak bertoksik buatan sendiri di wilayah Punjab di India, menurut pegawai dan laporan kelmarin.

Mangsa yang maut merupakan penduduk dari tiga daerah di wilayah utara dan pihak polis telah memberkas 25 suspek, menurut kepada agensi berita Press Trust of India.

Ratusan mati setiap tahun di India akibat arak beracun yang dihasilkan di kilang pembuatan arak haram dan dijual dengan harga serendah 10 rupee seliter.

Seorang pegawai memberitahu AFP bahawa 11 orang telah mati akibat meminum todi di daerah Gurdaspur.

Press Trust of India pula menyatakan kelmarin arak haram tersebut telah meragut 12 nyawa di daerah berhampiran Amritsar dan 63 nyawa di Tarn Taran.

Kematian lain disyaki akibat todi juga dilaporkan sejak beberapa hari lepas namun tidak dapat dibuktikan apabila mayat telah dibakar tanpa pemeriksaan bedah siasat.

Ketua menteri wilayah Punjab Amarinder Singh menyatakan pada Jumaat lepas beliau telah membuka satu siasatan khas mengenai kematian tersebut dan menegaskan sesiapa yang didapati bersalah tidak akan terlepas daripada undang-undang.

Akhbar The Indian Express menyatakan, pihak polis mendapati isteri salah seorang suspek yang mati akibat meminum todi di daerah Amritsar adalah orang yang menjual arak tersebut lalu menangkapnya.

Kes itu muncul selepas pihak berkuasa di wilayah selatan Andhra Pradesh menyatakan pada Jumaat bahawa sembilan orang telah meninggal dunia selepas meminum cecair pensanitasi berasaskan alkohol.

Mangsa bertindak meminum cecair pensanitasi sebagai ganti kepada arak yang telah dilarang penjualannya semasa perintah kawalan pergerakan koronavirus COVID-19 di India. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here