Pakatan Harapan Negeri Selangor diharap dapat mempertimbangkan untuk memberi laluan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia kepada AMANAH, pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Keputusan Mesyuarat Tahunan Pemuda AMANAH Gombak 2020 pada 7 Ogos lalu, menyaksikan sayap pemuda itu sebulat suara meluluskan usul yang akan memohon agar PH dapat memberi peluang kepada AMANAH untuk bertanding di kerusi tersebut.
Pemuda AMANAH Gombak berkata, sejarah Pilihanraya yang diadakan sebelum ini menunjukkan bahawa Pas merupakan parti lawan BN yang paling banyak penyertaannya dalam PRU di kerusi DUN Gombak Setia.
Namun katanya, selepas Pas keluar dari Pakatan Rakyat, kerusi tersebut yang kosong buat PR, telah ditukarkan kepada PH.
“Rundingan dijalankan menunjukkan bahawa AMANAH paling layak untuk bertanding di situ. Tetapi selepas perbincangan akhir maka kerusi diberikan kepada Bersatu dan kemudian ke PKR.
“Oleh itu, Pemuda AMANAH Gombak berpandangan bahawa PH Selangor wajar mempertimbangkan agar kerusi tersebut ditandingi oleh AMANAH.
“Tindakan ini akan membuktikan PH betul-betul mengamalkan pakatan politik secara bersama dan tiada parti dominan,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.
Pada masa sama, Pemuda AMANAH Gombak juga berpandangan bahawa usaha untuk menyingkirkan wakil rakyat yang mengkhianati mandat rakyat adalah usaha utama parti itu.
Bagaimanapun katanya, sebarang keputusan yang diputuskan pucuk pimpinan PH Selangor, akan diterima dengan hati terbuka oleh semua ahli.
Sayap pemuda parti juga berikrar sama ada AMANAH bertanding atau tidak di kerusi tersebut, jentera akan tetap digerakkan bagi memenangkan siapa sahaja calon dari PH termasuk Parlimen Gombak.
“Pemuda AMANAH Gombak bersetuju untuk membawa usul ini ke Mesyuarat Tahunan AMANAH Gombak yang akan diadakan kelak,” katanya lagi.