Suami Mangsa Kelar Ditemukan Mati Tergantung Di Papan Iklan

Suami kepada wanita warga emas yang maut dengan kesan kelar di bahagian leher di rumahnya di Bandar Aman Jaya, di sini semalam ditemukan mati tergantung di papan iklan di kawasan Bukit Bintang, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata mayat Tan Kok Jooi, 62, yang merupakan suspek utama kepada kes pembunuhan isterinya semalam, dijumpai oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan.

“Kita terima laporan pada 7.42 pagi tadi. Ahli keluarga mangsa telah membuat pengecaman serta mengesahkan bahawa mayat lelaki itu merupakan suami kepada mangsa yang dikelar semalam dan kereta milik suspek turut ditemui kira-kira 50 meter daripada lokasi papan iklan itu.

“Kes semalam dikira selesai, namun siasatan akan terus dijalankan sebagai kes bunuh dan kes mati mengejut. Mayat suspek akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, mayat wanita warga emas Kuek Choo Hong, 61, ditemukan di dalam sebuah bilik di rumahnya dalam keadaan berlumuran darah akibat kesan kelar sepanjang hampir 12 sentimeter di leher selain mukanya ditekup dengan bantal.

Mengulas lanjut, Adzli berkata pihaknya masih mencari bahan bukti lain termasuk senjata tajam yang dipercayai digunakan suspek untuk mengelar leher mangsa.

“Kita menjumpai seluar jean milik suspek di dalam mesin basuh di rumah berkenaan dipercayai untuk menghapuskan bukti,” katanya menambah daripada maklumat yang diperoleh mangsa dikatakan mempunyai masalah rumah tangga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here