Zuraida dituntut tunai janji bina 108 balai bomba di Sarawak

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dituntut untuk menunaikan janji bagi membina 108 balai bomba kategori E di pedalaman Sarawak.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Julau, Angela Baca (gambar) berkata, pembinaan balai bomba seperti yang dijanjikan Zuraida wajar disegerakan secepat mungkin.

Ini kerana, katanya kawasan luar bandar dan pedalaman di negeri ini amat memerlukan kemudahan tersebut untuk menangani kes kebakaran yang lebih efektif.

“Jika berlaku sebarang insiden kebakaran, nyawa penduduk pedalaman Sarawak bagaikan ‘telur di hujung tanduk’ kerana pada bila-bila masa nyawa, tempat perlindungan, harta benda mereka boleh musnah dijilat api tanpa persediaan kemudahan yang mencukupi.

“Justeru, amat menyedihkan sejak Januari hingga Mei tahun ini sahaja kejadian kebakaran di kawasan pedalaman Sarawak sudah mencatatkan kerugian yang dianggarkan mencecah RM2 juta,” ujarnya.

Menurut Angela, setakat ini sebanyak 38 pintu rumah panjang direkodkan telah mengalami insiden kebakaran yang teruk di kawasan berkenaan.

Malah, tegasnya insiden bencana kebakaran terus berlaku apabila pada 5 Ogos lalu sebuah Blok asrama SK Sebauh turut musnah dijilat api.

Tambahnya lagi, yang terbaru ialah membabitkan Rumah Chat, Nanga Bilat yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Julau.

“Dengan ini, saya menggesa agar pembinaan balai bomba di kawasan pedalaman Sarawak dapat direalisasikan seperti yang dijanjikan Zuraida sebelum ini,” ujar Angela lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here