200,000 hilang pekerjaan jika majlis perkahwinan tak dibenar

Kira-kira 200,000 pekerja didakwa akan hilang pekerjaan jika industri perkahwinan masih tidak dibuka menjelang Julai ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan (PPMPM), Zarinah Mohideen, berkata ramai pengusaha majlis perkahwinan Islam dan Bumiputera juga akan gulung tikar jika keadaan ini masih berterusan.

Zarinah berkata, dianggarkan sebanyak 150,000 majlis perkahwinan tertangguh di negara ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“PPMPM mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana sudi mendengar suara kami dan meminta disediakan cadangan prosedur operasi standard (SOP).

“Cadangan SOP itu sudah dihantar kepada Perdana Menteri dan beberapa kementerian seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, selain Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan mengalu-alukan semua pengusaha majlis perkahwinan untuk mengemukakan cadangan pematuhan SOP bagi membolehkan mereka beroperasi semula.

Semalam, Ismail Sabri menyatakan kebenaran untuk mengadakan majlis perkahwinan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan akan diketahui esok.

Zarinah berkata, PPMPM bekerjasama dengan Persatuan Keselamatan dan kesihatan Pekerjaan Malaysia (MiSHA) dalam menyediakan SOP yang menitikberatkan keselamatan dan kesihatan tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan.

Katanya, penyediaan SOP itu juga tertakluk kepada kebiasaan baharu ditetapkan.

“Kami menyediakan SOP ini dalam bentuk bertulis dan video yang menggambarkan situasi sebenar apabila majlis perkahwinan diadakan dengan SOP ditetapkan,” katanya.

Zarinah berkata, PPMPM berharap cadangan SOP itu dipertimbangkan dan membenarkan majlis perkahwinan diadakan di seluruh negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here