Pegawai tertinggi KKM tidak tahu Khairuddin langgar kuarantin timbul banyak persoalan

Pengakuan Ketua Pengarah (KP) Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam bahawa beliau dan pegawai tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak tahu tindakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang melanggar peraturan kuarantin kendiri hingga minggu lalu menimbulkan banyak persoalan.

Pendedahan ini menimbulkan begitu banyak persoalan kerana Akta 342 menyatakan bahawa kompaun hanya boleh dikeluarkan oleh KP Kesihatan atau mana-mana pegawai awam yang diberi kuasa secara bertulis.

Sehubungan dengan itu, Peguam Syahredzan Johan (gambar) mempertikaikan siapakah yang mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada menteri dari Pas itu pada 7 Ogos lepas sebagaimana satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Jika Tan Sri KP Kesihatan sendiri dan pegawai tertinggi KKM baru tahu Menteri buat salah minggu lepas, siapa pula yang keluarkan ‘kompaun 7 Ogos’ pada Menteri?

“Ya, memang pegawai biasa boleh diberikuasa oleh KP untuk keluarkan kompaun.

“Tetapi, ini kes VVIP. Seorang dalam Jemaah Menteri. Takkanlah kompaun dikeluarkan oleh pegawai biasa tidak dimaklumkan kepada KP,” tulis Syahredzan yang merupakan Setiausaha Politik kepada veteran DAP, Lim Kit Siang itu.

Namun begitu, Syahredzan memohon agar beliau tidak disalah anggap mahu menyerang Tan Sri Noor Hisham, KP KKM itu.

“Jangan salah faham, saya tak pertikaikan KP Kesihatan TS Dr Noor Hisham.

“Saya yakin dia memang baru dapat tahu sama dengan kita.

“Yang saya perikaikan adalah kenyataan media bertarikh 22 Ogos oleh KKM, yang mengatakan bahawa pada 7 Ogos kompaun telah dikeluarkan terhadap Menteri,” katanya.

Bagi Syahredzan, kenyataan media 22 Ogos ini bukan dikeluarkan oleh KP Kesihatan.

Ini kerana, Menteri, Timbaan Menteri atau unit Komunikasi Korporat KKM juga boleh keluarkan kenyataan bagi pihak Kementerian, katanya.

Sehubungan itu, beliau membangkitkan tujuh persoalan yang perlu diperjelaskan mengenai lawatan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu ke Turki.

  1. Apa tujuan Menteri ke Turki?
  2. Adakah benar keluarga Menteri ikut sekali?
  3. Adakah keluarga dan pengiringnya juga langgar kuarantin?
  4. Siapa yang keluarkan ‘kompaun 7 Ogos’?
  5. Kenapa perkara ini tidak dimaklumkan kepada KP Kesihatan?
  6. Siapa yang arahkan kenyataan media 22 Ogos dikeluarkan?
  7. Adakah Perdana Menteri tahu Menteri pergi ke Turki, dan kemudian langgar kuarantin?

“Semua persoalan ini masih belum terjawab, walaupun sudah satu minggu kontroversi ini meletup.

“Rakyat perlukan jawapan, bukan persoalan demi persoalan!” kata beliau lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here