KKM siap siaga, pantau kes Covid-19 dunia naik menjelang musim sejuk

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) bersiap siaga menghadapi kemungkinan pertambahan kes Covid-19 dari luar negara dalam tempoh empat bulan akan datang apabila musim sejuk melanda negara-negara yang berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata walaupun jangkitan di dalam negara masih terkawal, berdasarkan pemantauan kes Covid-19 di negara-negara seperti India, Korea Selatan, Jepun, Sepanyol dan Perancis sekarang menunjukkan peningkatan seiring penurunan suhu di negara-negara terbabit.

“Jadi kebimbangan kita ialah apabila (tiba) musim sejuk, kes akan bertambah dan kita perlu membuat kesiapsiagaan,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2020 di Dataran Pahlawan Negara, di sini hari ini.

Pada masa yang sama, beliau berkata virus Covid-19 didapati bermutasi dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Dr Noor Hisham berkata bagi memastikan penularan terkawal, KKM melaksanakan kaedah kesihatan awam yang menuntut orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai, sementara KKM pula bersiap siaga dari segi penyediaan kemudahan.

Katanya kaedah itu juga membantu Malaysia mengenal pasti kluster dengan cepat.

“Bagaimanapun kita masih lagi perlu kerjasama semua rakyat untuk sama-sama memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here